Tuesday, November 28, 2006

Bebaskan kiblat pertama

Oleh MASLEE MALIK


TANGGAL 2 Oktober mungkin tidak membawa erti yang besar bagi ramai orang. Berlainan pula dengan para pejuang isu Palestin dan juga para pengkaji sejarah Islam. Tarikh 2 Oktober merujuk kepada peristiwa besar yang berlaku pada tahun 1187 Masihi bersamaan dengan 27 Rejab tahun 583 Hijrah.

Tarikh tersebut juga tidak akan dilupakan bagi para pejuang kemerdekaan Palestin dan Masjid Al-Aqsa di waktu kini.

Mengapa tidak? Ia merupakan tarikh Masjid Al-Aqsa berjaya dimerdekakan oleh Salahudin al-Ayubi daripada penjajahan tentera Salib Eropah. Tarikh tersebut juga menyaksikan bagaimana Masjid Al-Aqsa yang ditawan oleh tentera Salib Eropah semenjak tahun 1099 berjaya ‘disucikan’ semula. Masjid yang telah ditukarkan kepada kandang-kandang kuda tentera Salib di zaman penjajahan mereka itu dicuci sendiri oleh Salahudin sebaik sahaja ia dimerdekakan.

Tarikh tersebut menyaksikan bagaimana azan pertama berkumandang melalui kubah Masjid Qibli, yang sekarang ini dikenali sebagai Masjid Al-Aqsa. Usaha membebaskan kota Baitulmaqdis sekali gus memerdekakan Masjid Al-Aqsa bukanlah berlaku sekelip mata. Kesedaran dan kebangkitan telah dimulakan seawal zaman Imam al-Ghazali lagi. Usaha itu mencapai kepada tahap kematangannya di zaman Nurudin al-Zinki dan Imadudin al-Zinki.

Kemuncak usaha tersebut adalah pada zaman Salahudin Al-Ayubi. Beliau menjadi pemangkin kepada usaha hampir sekurun itu dan telah berjaya memetik hasilnya. Selepas berjaya menjadi penguasa Mesir, Kurdistan di Iraq, dan juga kawasan Syam, beliau mula mengumpulkan kekuatan untuk memerdekakan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Kekuasaan dan pengaruh yang beliau miliki dikumpulkan semata-mata untuk memerdekakan Al-Aqsa. Sehingga ada yang mengatakan bahawa Salahudin tidak pernah makan lebih daripada satu lauk dan tidak pernah tersenyum sebelum Al-Aqsa berjaya dimerdekakan. Pemikirannya, tumpuannya dan juga seluruh kehidupannya ditumpukan untuk mengusahakan kemerdekaan Al-Aqsa.

Berjaya

Operasi memerdekakan Al-Aqsa bermula dengan peperangan Hittin yang menyaksikan kemenangan gilang gemilang tentera muslimin di bawah pimpinan Salahudin. Tentera Salahudin seramai belasan ribu orang telah berjaya mengalahkan tentera Salib di bawah pimpinan raja Baitulmaqdis sendiri yang berjumlah lebih 63,000 orang. Peperangan yang berlaku pada 4 Julai 1187 itu menyaksikan lebih 30,000 tentera salib dibunuh, manakala 30,000 yang lain dijadikan tawanan perang.

Kemenangan di Hittin merupakan petanda kemenangan awal umat Islam untuk memerdekakan Al-Aqsa. Umat Islam bagaikan disuntik dengan semangat jihad yang baru dan berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan mereka. Kilauan kubah sakhra di Masjid Al-Aqsa bagaikan memanggil mereka. Dari Hittin para mujahidin di bawah pimpinan Salahudin meneruskan operasi mereka.

Pada 10 Julai, iaitu tidak sampai seminggu sahaja, mereka berjaya memerdekakan kawasan Tiberia dan kemudiannya wilayah Akka yang semakin hampir dengan Baitulmaqdis. Hari-hari berikutnya mereka telah berjaya memerdekakan al-Nasirah, Safawiyah, Qaysariayh, Haifa, Arsuf, Nablus, al-Fulah, Deboreyah, Jenin, Ze‘in, al-Tur, al-Lijun, Bisan dan semua kawasan di dalam wilayah Akka dan Tiberia. Mereka kemudiannya terus mara untuk memerdekakan Yafa dan Saida pada 29 Julai, dan kemudiannya memerdekakan Beirut pada 6 Ogos.

Kemaraan pasukan mujahidin tersebut akhirnya semakin mendekati Baitulmaqdis apabila Ramlah, Yanbih, Bait Lahm, Hebron dan Asqalan berjaya mereka merdekakan daripada jajahan penjajah Salib. Sungguhpun demikian, Salahudin tidak terus mara ke Baitulmaqdis, tetapi mengepungnya dengan memerdekakan seluruh kawasan yang mengelilingi Baitulmaqdis. Strategi tersebut telah berjaya memastikan Baitulmaqdis benar-benar berada di dalam kepungan para mujahidin. Pada 4 September, Gaza, Natrun, Bait Jibril dan lain-lain kawasan yang menghadap ke laut di sebelah barat Baitulmaqdis pula dimerdekakan.

Dalam tempoh dua bulan sahaja, Salahudin dan tentera Muslimin telah berjaya memerdekakan 50 buah bandar dan kota di sekitar Baitulmaqdis. Akhirnya beliau mempersiapkan tentera Muslimin untuk mara ke Baitulmaqdis.

Berazam

Salahudin mula mengepung kota Baitulmaqdis pada 20 September tahun tersebut. Beliau berazam untuk tidak menyebabkan kerosakan pada kota tersebut dan berusaha untuk tidak menumpahkan darah kecuali jika perlu. Beliau mengidamkan untuk mengulangi sejarah Umar bin Khattab yang telah berjaya memasuki Al-Quds tanpa menyebabkan kerosakan pada kota tersebut. Bagaimanapun pihak penjajah Salib lebih memilih untuk berperang demi mempertahankan kota tersebut.

Pertempuran yang hebat berlaku di antara kedua-dua belah pihak. Pihak penjajah Salib yang mempunyai lebih 60,000 tentera di dalam kota tersebut telah berperang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir. Akhirnya, apabila mereka yakin bahawa kekalahan di pihak mereka merupakan satu yang pasti, mereka telah menyerah kalah. Siang 2 Oktober 1187 telah menyaksikan kota Baitulmaqdis beserta Masjid Al-Aqsa sekali lagi berjaya dimerdekakan oleh umat Islam.

Khutbah Jumaat pertama di Masjid Al-Aqsa selepas dimerdekakan adalah Kadi Mahyudin bin Zakiyudin. Beliau telah diminta oleh Salahudin untuk memberikan khutbah pertama di Masjid Al-Aqsa selepas hampir sekurun tiada khutbah dan tiada solat Jumaat dibenarkan di sana. Solat Jumaat dan juga khutbah berkenaan telah dihadiri oleh ribuan jemaah dari sekitar Baitulmaqdis dan juga para mujahidin yang berjuang untuk memerdekakannya.

Khutbah yang mengandungi pujian, keinsafan dan juga kata-kata semangat kepada kaum muslimin telah memberikan kegembiraan dan juga semangat yang tidak terhingga kepada kaum muslimin untuk meneruskan jihad mereka demi memerdekakan keseluruhan bumi Syam yang telah dijajah oleh penjajah Salib dari Eropah.

Umat Islam pada hari ini sekali lagi menantikan peristiwa seumpama 2 Oktober 1187M itu. Masjid Al-Aqsa yang telah dijajah oleh kaum Yahudi Zionis semenjak tahun 1967M sedang menantikan Salahudin kontemporari untuk membebaskannya. Masjid Al-Aqsa yang kini sedang menghadapi ancaman dan konspirasi Zionis untuk merobohkannya benar-benar mengharapkan agar munculnya Salahudin yang moden bersama para tentera Muslimin untuk menyelamatkannya dari diruntuhkan.

Masjid Al-Aqsa kini teramat memerlukan kemunculan Salahudin milenium ini agar dapat menyelamatkannya dari terus diruntuhkan dan digantikan dengan kuil Yahudi yang dinamakan sebagai ‘Haychal’. Persoalannya, di manakah Salahudin tersebut? Dan bilakah dia akan muncul?

Pada Jumaat 29 September 2006 yang lalu, umat Islam di Baitulmaqdis sedikit sebanyak telah dapat bergembira. Bukannya kerana mereka telah berjaya memerdekakan Masjid Al-Aqsa. Masjid Al-Aqsa masih lagi diancam. Masjid Al-Aqsa masih lagi menghadapi bahaya untuk dirobohkan. Lapisan bawah Masjid Al-Aqsa masih lagi digali, dan aktiviti penggalian tersebut telah menyebabkan keretakan kepada masjid berkenaan. Kuil (Sinagogue) Yahudi yang telah dirasmikan pada 3 Januari 2006 yang lalu masih lagi berada di bawah masjid.

Tentera-tentera Zionis masih lagi berkawal dan menghalang kaum muslimin daripada memasuki masjid. Walau bagaimanapun kesemua ini terubat apabila umat Islam di Baitulmaqdis dan sekitarnya buat pertama kali telah dapat menunaikan solat Jumaat di dalam masjid buat pertama kalinya semenjak akhir bulan Jun yang lalu.

Walaupun undang-undang yang melarang umat Islam di bawah 45 tahun daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa masih lagi berkuat kuasa, namun kaum muslimin dapat mengatasi itu semua. Walaupun tentera-tentera Zionis masih lagi mengawal kota Baitulmaqdis dan pintu-pintu masuk ke dalam masjid, namun kehadiran ribuan jamaah muslimin pada hari Jumaat tersebut tidak berjaya mereka halang.

Kejayaan tersebut kembali kepada kempen ‘Masirat al-Bayariq’ yang telah dilancarkan oleh Syeikh Raed Salah dan rakan-rakannya. Beliau yang terkenal dengan julukan ‘Syeikh al-Aqsa’ telah menggerakkan usaha membawa rombongan kaum Muslimin dari sekitar Baitulmaqdis dan kawasan-kawasan berdekatan untuk membanjiri kawasan masjid. Dianggarkan puluhan ribu kaum muslimin telah hadir pada hari Jumaat tersebut.

Jika sebelum ini, kaum muslimin terpaksa bersolat di luar kawasan masjid kerana dihalang, kini kehadiran puluhan ribu mereka bukannya lawan bagi para tentera Zionis yang berkawal. Walaupun panas terik mentari dan juga keadaan para jemaah yang berpuasa, ia tidak sekali-kali menghalang mereka untuk terus membanjiri Masjid Al-Aqsa untuk bersolat Jumaat dan juga mendengar khutbah buat kali pertama semenjak hampir empat bulan yang lalu. Keadaan tersebut mengingatkan mereka kepada peristiwa 2 Oktober 1187 sewaktu Masjid Al-Aqsa berjaya dibebaskan oleh Salahudin.

Semoga dengan apa yang berlaku pada awal Ramadan ini akan menjadi langkah permulaan untuk kemerdekaan Masjid Al-Aqsa di masa hadapan. Jika Hizbullah berjaya mengalahkan tentera Zionis di Lebanon, mengapa tidak umat Islam di seluruh dunia berusaha untuk membebaskan kiblat pertama mereka, masjid ketiga suci dan juga bumi Israk dan Mikraj?

Jika tidak kaum muslimin, maka siapa lagi? Jika bukan sekarang, maka bila lagi? Persoalannya, di manakah Salahudin masa kini?


Ya Allah!! Ampunkan dosa kami yg terlalu meringankan perjuangan saudara kami di Palestin dan kami berlindung kepadaMU ya Allah daripada termasuk dalam golongan yg Engkau murkai dan golongan yg sesat..

Selamatkanlah saudara kami di Palestin, di Iraq, di Kashmir, di Afghanistan, di Chechen, di Naratiwat, di Tak Bai dan diseluruh pelusok dunia ini ya Allah.

Berikanlah mereka kekuatan iman dan keteguhan pendirian dalam menentang musah-musuhMU ya Allah.

Berikanlah kami kejayaan dalam mengalahkan mereka yg menentang agamaMU ya Allah..amieen ya Rabb



Islah Nafsaka Wad'u Ghairaka

No comments: