Tuesday, November 28, 2006

4,000 kanak-kanak terjebak pelacuran


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak seawal usia sembilan tahun adalah antara lebih 4,000 kanak-kanak yang dikesan terbabit dalam kegiatan pelacuran di seluruh negara.


Kajian lima tahun oleh pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lukman @ Zawawi Muhammad Lukman mendapati, usia 'bapa ayam' atau individu yang mengawal pelacur kanak-kanak juga semakin muda iaitu antara 18 hingga 20 tahun.

Kajian bertajuk ‘Kanak-kanak Dalam Pelacuran’ turut menemui kes pelacuran yang diwarisi sesebuah keluarga selama tiga generasi sejak sebelum merdeka iaitu daripada ibu kepada anak dan seterusnya kepada cucu.

Lukman, dalam satu pertemuan dengan Berita Minggu, berkata kajian yang dilakukannya di seluruh negara itu juga menemui kes seorang ibu menyuruh anak perempuannya berusia 11 tahun melakukan hubungan seks kali pertama bersama teman lelakinya.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 4,315 kes kanak-kanak berusia bawah 18 tahun terbabit dalam pelacuran antara 1995 hingga 1999. Jumlah itu adalah kes yang berjaya diselamatkan.

“Jumlah yang gagal diselamatkan dipercayai lebih ramai lagi. Kebanyakan kisah pelacur kanak-kanak ini sangat sedih. Mereka tidak meminta menjadi pelacur tetapi dipaksa termasuk ibu mereka yang juga pelacur.

“Pernah saya menangis dua hari dan tidak dapat melakukan apa-apa kerja kerana mendengar kisah pelacur kanak-kanak ini,” katanya.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Rafek Reshidullah ketika diminta mengulas hasil laporan itu mengakui ada kes pelacuran membabitkan remaja bawah 18 tahun, tetapi tidak seawal usia sembilan tahun.

“Setakat ini, belum ada kes kanak-kanak berusia sembilan tahun terbabit dalam pelacuran dirujuk kepada JKM, tetapi di rumah perlindungan ada yang berusia 14 tahun ke atas. Kami berharap dapat berkongsi maklumat dengan UKM hasil kajian itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Rafek berkata, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 boleh dikuatkuasakan untuk kes membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun sama ada penderaan, penderaan seksual, kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran.

Menurut kajian itu juga kebanyakan kanak-kanak terbabit bukanlah daripada keluarga miskin tetapi sederhana yang mana ibu bapa mereka memiliki pekerjaan stabil di bandar.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak lagi bersekolah, tercicir daripada sistem persekolahan dan meninggalkan alam persekolahan pada usia antara 12 hingga 15 tahun. Ada antara mereka melacur dengan bayaran serendah RM10,” kata Lukman.

Faktor utama mendorong kanak-kanak itu menjadi pelacur adalah kepincangan dalam keluarga seperti berlakunya aktiviti keganasan rumah tangga, perceraian, penderaan, kurangnya kasih sayang kepada anak-anak selain gangguan seksual terhadap kanak-kanak seperti rogol dan cabul.

"Apabila kanak-kanak kurang mendapat kasih sayang, dan menjadi mangsa penderaan emosi atau fizikal, ada pihak menawarkan kasih sayang kepada mereka sehingga terjerumus dalam kegiatan negatif seperti dadah seterusnya pelacuran,” katanya.

Kajian itu turut mendedahkan lelaki yang melanggan pelacur kanak-kanak adalah daripada pelbagai golongan termasuk profesional. Turut dikesan melanggan mangsa

ialah penganggur, pemandu teksi serta lelaki bujang dan yang sudah berkahwin kerana menganggap pelacur kanak-kanak sebagai objek seks.

Lukman menyarankan lelaki yang menjadi pelanggan perlu dibawa ke muka pengadilan, sebaliknya kanak-kanak terbabit tidak wajar dihukum masyarakat dan dipandang hina.

Beliau kesal kerana masyarakat memandang hina golongan itu tanpa cuba memahami dan membantu mereka kerana tiada kanak-kanak yang meminta dijadikan pelacur.

“Kanak-kanak ini membesar dengan psikologi tidak normal kerana sejak kecil terdedah dengan tontonan terhadap perlakuan negatif, antaranya daripada ibu bapa yang bercerai, keganasan rumah tangga dan penderaan termasuk penderaan seksual.

“Kerosakan psikologi kanak-kanak ini menyebabkan kelumpuhan psikologi dan mereka cenderung melakukan aktiviti dan tingkah laku yang merosakkan diri mereka sendiri sepanjang membesar,” katanya.

FAKTA
Kajian pelacur kanak-kanak


  • Membabitkan 63 responden antara sembilan hingga 18 tahun.
  • Lebih 80 peratus daripada mereka tidak bersekolah, mangsa penderaan (fizikal, emosi dan seksual seperti rogol dan cabul), memendam kemarahan, pernah melarikan diri dari rumah.
  • Lebih 70 peratus adalah mangsa perceraian ibu bapa, keganasan rumah tangga, terdedah kepada seks oleh orang yang mereka kenali, menjalankan aktiviti pelacuran dengan kawalan pihak tertentu.
  • Lebih 60 peratus mengambil alkohol dan dadah sebagai cara melupakan penderaan ketika pelacuran, tidak menggunakan alat pencegah hamil ketika melayan pelanggan.
  • Antara 40 hingga 60 peratus mengaku melayan enam hingga 10 lelaki setiap hari, melacur setiap hari.






  • Islah Nafsaka Wad'u Ghairaka

    No comments: